Sri Pahang Terus Misi Cuba Kutip Mata Penuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Sri Pahang FC berada pada situasi positif apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, biarpun pasrah rekod tanpa kalah berakhir, skuad itu bersedia untuk kembali mencatat kemenangan ke atas lawan.

“Semua pemain lebih semangat ketika berlatih dan tiada pemain yang mengeluh kerana misi utama untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri.

“Insya Allah, harapan kita setiap kali bermain dengan halaman sendiri, kita berusaha untuk mendapatkan tiga mata.

“Tiga pemain iaitu Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik dan Mohd Azrif Nasrulhaq yang tidak beraksi ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Mei lalu, kembali berada dalam senarai kesebelasan utama,” katanya.

Selepas 12 perlawanan, Sri Pahang berada pada kedudukan ketiga dengan mengutip 25 mata dalam saingan Liga Super ketika ini manakala KL City pula di kedudukan keenam dengan 19 mata.

Dalam perkembangan berkaitan, Fandi mengesahkan tiga pemain iaitu kapten pasukan, Sergio Aguero, Sherzod Fayziev dan Lucas Silva sah tidak beraksi disebabkan kecederaan.

“Kita masih mengharapkan Nor Azam Azih bermain tetapi peluang bermain masih 50/50 kerana baru pulih daripada kecederaan,” kata lagenda bola sepak Singapura itu.

Justeru, beliau mahu pemain yang disenaraikan berdepan KL City dapat memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri.

“Manfaatkan segala peluang yang ada untuk menyekat lawan daripada membawa pulang mata,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN