T-Fight Lancar Jualan Amal Bantu Rakyat Palestin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Terengganu Fight Festival (T-Fight) melancarkan jualan amal sambil menderma bagi membantu rakyat Palestin yang terlibat dengan tragedi serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Sabtu lalu.

Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu, Master Najmi Abdullah berkata, sebanyak 50,000 helai baju-T jualan disasarkan bagi memperoleh dana sekurang-kurangnya RM250,000 dicapai dalam tempoh dua minggu untuk disalurkan segera kepada rakyat Palestin.

“Baju-T itu boleh didapati menerusi ejen di seluruh negara atau beli secara dalam talian menerusi akaun Facebook rasmi T-Fight.

“Kita cetak baju bermodalkan RM20 dan jual dengan harga RM25. Keuntungan sebanyak RM5 itu kita akan serah semua kepada tabung Palestin.

“Hasil keuntungan daripada jualan baju-T berkenaan akan disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berwibawa serta dipercayai dalam menyalurkan bantuan ke Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran baju T-Fight x Save Palestine menerusi program ‘T-Fight Aid Palestine Taufan Al-Aqsa’ bertempat di Sumai Hotel Apartment Dewan Nova 1 semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin dan wakil daripada Yayasan Tabung Amal Malaysia.

Tambahnya, konsep tersebut dilaksanakan sebagai tanda protes dan solidariti terhadap kekejaman berlaku pada umat Islam di Gaza.

– UNIT BERITA MANIS FM