Ten Hag Harap Gandingan Hojlund-Rashford Menjadi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER, England: Rasmus Hojlund dan Marcus Rashford mula menunjukkan tanda-tanda gandingan boleh diharap, kata pengurus Manchester United, Erik ten Hag selepas kedua-dua penyerang itu meledak gol ketika seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Gol awal Hojlund dipadamkan oleh Richarlison sebelum Rodrigo Bentancur menyamakan kedudukan sekali lagi buat Spurs selepas Rashford kembali meletakkan United di depan.

Hojlund hanya menjaringkan dua gol dalam liga musim ini manakala Rashford empat gol namun dua pemain itu dilihat mula membentuk persefahaman dan terbabit dalam gerakan setiap gol masing-masing.

“Saya harap mereka akan meneruskan perkembangan sihat ini,” kata Ten Hag kepada wartawan. “Anda lihat mereka tampil dengan rutin – itulah yang anda mahukan.

“Anda perlukannya di mana-mana terutamanya di barisan depan, yang mana mereka mempunyai ruang sempit dan perlu melakukan keputusan pantas. Dalam sesaat anda perlu melakukan keputusan tepat, jadi anda perlukan gerak hati itu.

“Apabila penyerang anda tidak menjaringkan gol, ia akan menjejaskan keseluruhan pasukan. Ia membuatkan setiap orang berasa tidak selamat, bermula dengan barisan hadapan, kerana mereka sudah tentu tidak bersemangat jika tidak menyumbat gol dan bermain dengan kurang yakin.”

United akan beraksi seterusnya pada pusingan keempat Piala FA Inggeris pada 28 Januari ini menentang sama ada Newport County atau Eastleigh. – REUTERS