
KLANG – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijab kabul dengan suri hati baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di sini pada Khamis.
Istiadat itu disempurnakan oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dengan dua saksi pernikahan iaitu Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.
Istiadat pernikahan disempurnakan oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Setia Dr Anhar Opir. – Foto Selangor Royal Office
Selangor Royal Office dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan, majlis akad nikah dimeterai tepat jam 10.08 pagi dengan sekali lafaz sebelum disusuli 11 das tembakan meriam sebagai tanda rasmi pernikahan diraja.
Istiadat yang berlangsung penuh tertib itu turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Majlis pernikahan diraja yang diadakan secara tertutup itu turut dihadiri kerabat Diraja Selangor, keluarga pengantin perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak.
Sumber : SINAR HARIAN





