Terengganu Bakal Laksanakan Permit Khas Di Lokasi Kapal Karam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Kerajaan Negeri Terengganu bakal laksanakan permit khas kepada penyelam skuba di lokasi kapal karam di Pulau Kapas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata pelaksanaan permit itu bagi menguatkuasakan prosedur penyelam skuba bagi melindungi artifak tinggalan kapal karam di lokasi tersebut.

Razali berkata turut dicadangkan, pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menghalang aktiviti penyeludupan keluar artifak dari pulau itu.

“Kita mungkin akan mengeluarkan permit khas seperti Pulau Bidong. Bukan nak susahkan pelancong, tetapi nak menjaga kepentingan artifak dalam laut.

“Kita akan sertakan dengan SOP mudah yang tak akan susahkan sesiapa dan juga kita tak nak caj apa-apa. Cuma kita nak jaga artifak daripada dicuri,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak kapal karam di Pulau Kapas pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya tidak akan mengenakan caj kepada pelancong yang ingin menyelam di lokasi berkenaan, sebaliknya menyerahkan urusan mengenai caj tersebut kepada pihak yang mengendalikan selam skuba.

Dalam pada itu, Razali berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan Galeri Arkeologi Maritim pada tahun depan bagi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.

Menurut beliau, galeri berkenaan akan menempatkan pelbagai artifak kapal karam yang terdapat di tiga lokasi negeri ini iaitu Pulau Bidong, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

 “Usaha ini dijalankan supaya dapat memulihara warisan sejarah yang ada di dasar laut Terengganu bagi menarik kedatangan pelancong terutama peminat sejarah maritim dan arkeopelancongan bawah air dari seluruh dunia.

“Lokasi cadangan ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) kerana kedudukannya yang strategik dan ia juga sudah terkenal sebagai lokasi pelancongan utama Terengganu,” katanya.

— BERNAMA