Terengganu, Kelantan Terima Bekalan Gula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Pasukan khas yang ditubuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menangani isu kekurangan gula di Pantai Timur mengesahkan Terengganu dan Kelantan menerima bekalan daripada 16 pembekal utama.

Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pasukan terbabit yang menggerakkan Ops Manis sejak Rabu lalu memantau keberadaan inventori stok penimbal gula di kilang atau gudang penyimpanan serta memastikan tiada penyeludupan gula ke negara jiran, mahupun belian panik

Katanya, pemantauan di Kelantan dan Terengganu hari ini memeriksa 116 pemborong dan peruncit serta menerima dua aduan, namun tiada kes yang direkodkan.

“Kompaun juga tidak dikeluarkan, yang mana bagi jumlah pengedaran gula daripada kilang ke pemborong utama di Kelantan adalah 147,840 kilogram (kg) manakala di Terengganu 269,528 kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, laporan pasukan itu di Kelantan memaklumkan daripada 280 premis yang diperiksa, mendapati terdapat pengedaran dan penghantaran dilakukan enam pemborong utama gula hari ini.

“Seterusnya, berdasarkan laporan yang diterima daripada pasukan Terengganu pula, sebanyak 148 premis menerima bekalan gula hasil edaran 10 pemborong utama.

“Terengganu menerima bekalan gula tertinggi iaitu sebanyak 141,768 kg daripada MSM dan 127,760 kg daripada CSR,” katanya.

Beliau berkata, KPDN komited mempergiatkan usaha mengawal selia pengedaran barang kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Sumber: METRO