Terengganu Perkasa Usaha Tangani Perubahan Iklim, Impak Terhadap Ekonomi Negeri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan memperkasa dan mengutamakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan alam sekitar bagi menangani isu perubahan iklim serta mengurangkan impaknya terhadap ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata antara langkah akan diambil bagi tujuan itu ialah memperkasakan sumber tenaga boleh diperbaharui, termasuk penggunaan tenaga solar dan hidroelektrik.

Katanya, kerajaan juga bercadang mewartakan lebih banyak kawasan hutan simpan serta melaksanakan pemuliharaan alam flora dan fauna di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, kempen budaya kebersihan dan kitar semula juga akan terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat, terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Kempen kesedaran, termasuk dari segi penjagaan alam sekitar, akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan lestari pada setiap peringkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali berkata, seluruh masyarakat perlu memainkan peranan bersama Kerajaan Terengganu dalam usaha dan inisiatif untuk mencapai matlamat itu.

“Jika berlaku peningkatan bencana alam, sudah tentu akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi termasuk aktiviti hiliran, sekali gus memberi impak besar terhadap infrastruktur, pekerjaan, pelancongan, perniagaan dan kewangan kerajaan negeri.

“Masyarakat di negeri ini, terutama mangsa bencana, terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM38.2 juta akibat banjir yang melanda pada Disember tahun lalu dan awal tahun ini,” katanya.

– BERITA HARIAN