Terengganu Sedia Bantu Azizulhasni

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Terengganu bersedia membantu masalah dihadapi jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang sekiranya memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang makluman berhubung permasalahan yang dihadapi Azizulhasni.

Menurutnya, pihaknya juga membuka ‘pintu’ kepada atlet kelahiran Dungun itu berkongsi masalah yang dihadapi dan kerajaan negeri sedia untuk mendengarnya.

“Setakat ini kita belum menerima apa-apa makluman berhubung masalah yang dihadapi daripada beliau (Azizulhasni).

“Bagaimanapun, kita (kerajaan negeri) sedia membantu apa yang patut jika beliau mahu meminta pertolongan daripada kita.

“Insya-Allah, kita akan lihat apa yang boleh bantu dan berkongsi masalah dengan beliau. Selepas itu kita sama-sama fikirkan apa sepatutnya bantuan memandangkan beliau (Azizulhasni) ini bukan saja aset negeri, malah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan Sea 2023 Phnom Pehn, Kemboja di Bilik Seminar Ar Riyadah Residence Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan Azizulhasni meluahkan perasaan rasa tidak puas hati terhadap sistem sokongan untuk dirinya ke temasya Sukan Olimpik Paris dilihat agak perlahan.

– BERITA HARIAN