
KUALA LUMPUR – Terlupa kerana fokus bekerja atau belajar menjadi alasan utama pengguna jalan raya gagal memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) masing-masing.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, selain itu, ada pengguna jalan raya turut memberi alasan jarang memandu kenderaan dan hanya memiliki lesen untuk kes kecemasan.
“Selain itu JPJ turut mendapati sikap sambil lewat individu tidak memperbaharui lesen ketika berada di luar negara, walaupun pembaharuan lesen memandu boleh dilaksanakan oleh wakil di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Aedy Fadly berkata, alasan seperti itu tidak lagi relevan kerana kini pelbagai kemudahan pembaharuan telah disediakan termasuk perkhidmatan dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal mySIKAP.
“Namun, urusan secara bersemuka melalui kaunter atau mana-mana rakan niaga yang dilantik masih boleh dilaksanakan.
“Bagi pemegang lesen yang berada di luar negara, pelantikan wakil di Malaysia boleh dilaksanakan untuk menguruskan pembaharuan lesen,” katanya.
Menurutnya, selain itu, tarikh tamat tempoh lesen memandu telah diselaraskan dengan tarikh lahir pemegang lesen bagi memudahkan urusan.
“Oleh itu, tiada lagi alasan untuk tidak memperbaharui lesen memandu kecuali atas pilihan sendiri.
“JPJ menyeru semua pemegang lesen agar bertanggungjawab memperbaharui lesen masing-masing tepat pada masanya bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” tegasnya.
Pada Sabtu, media melaporkan JPJ mendapati 2.3 juta pemegang CDL berada dalam status tidak aktif, sama ada sudah tamat tempoh atau tidak diperbaharui melebihi tiga tahun.
Aedy Fadly dilaporkan berkata, adalah menjadi kesalahan jika mereka memandu dengan menggunakan lesen tidak aktif memandangkan ia akan menimbulkan pelbagai risiko berbangkit kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, semua individu yang memandu kenderaan motor atas jalan perlu mempunyai lesen memandu sah dan berkuat kuasa selaras dengan ketetapan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Top of Form
Bottom of Form
Jika pemegang lesen terbabit masih berhasrat bagi memandu kenderaan motor atas jalan, individu itu wajib menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di mana-mana institut memandu berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu berkenaan selaras ketetapan Akta 333.
Sementara itu, beliau berkata, semua pemegang CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun digesa untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau mana-mana kaunter JPJ di seluruh negara bagi mengelak kewajipan menduduki semula KPP02 dan KPP03.
Sumber : SINAR HARIAN





