
KEMAMAN– SIAPA menyangka, asbab sebiji rambutan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun menghembuskan nafas terakhirnya. Malang tidak berbau, si kecil itu dilaporkan tercekik biji rambutan yang dikupas oleh kakak.
Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika kanak-kanak lelaki itu sedang menikmati buah rambutan bersama kakaknya yang berusia enam tahun.
Kakak mangsa telah mengupas buah rambutan sebelum memberikannya kepada mangsa dan mereka makan bersama.
“Ketika sedang makan, tiba-tiba suara mangsa tersekat-sekat dipercayai akibat biji rambutan yang dimakan tersangkut di kerongkong,” katanya.
Si kecil berkenaan selepas itu dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.50 petang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disahkan akibat tercekik (choked) dan doktor turut mengesahkan terdapat biji rambutan di dalam kerongkongnya,” kongsinya.
Sementara itu, PASTI Al-Furqan, Felda Neram 1 berkongsi ucapan takziah susulan pemergian si kecil yang bernama Muhammad Yusuf Arfan itu.
“Telah kembali ke rahmatullah anakanda Muhammad Yusof Arfan Ismail waktu Zohor tadi. Takziah buat ibu bapa, semoga tabah dan sabar menerima ujian ini. Sama-sama kita doakan semoga dicucuri rahmat,” kongsinya.
Sumber: SINARHARIAN





