Tiga nelayan dikhuatiri hilang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter


Maritim Malaysia Kelantan sedang mengaktifkan Carilamat tiga nelayan dikhuatiri hilang di Jeti LKIM Kuala Kemasin, Bachok.

BACHOK – [DIKEMAS KINI] Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki tidak pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemasin di sini, pada Ahad.

Mangsa yang dikenali sebagai Rohimi Ahmad, 47, Nik Muhammad Syafiqrullah Abdul Hafiz, 21, dan Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29, sepatutnya tiba di jeti pada jam 6 petang hari yang sama.

Bot terbabit dilaporkan keluar ke laut bersama empat buah bot yang lain dan mula bergerak balik secara berasingan.

Namun setelah empat buah bot yang lain tiba di jeti, didapati bot yang dinaiki ketiga-tiga mangsa masih tiada di jeti berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Saripudin Ishak berkata, ketiga-tiga nelayan terbabit dikatakan keluar mencari ikan di kawasan ‘Ujang Geleng’ kira-kira 26 kilometer (km) dari jeti.

“Pada hari kejadian keadaan cuaca berjerebu dan berisiko kepada bot nelayan kecil,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, anak kepada Rohimi iaitu Nik Nur Shahira, 17, memberitahu ayah serta abangnya, Nik Muhammad Syafiqrullah serta rakan mereka keluar ke laut pada jam 3 pagi Ahad menaiki perahu sekoci.

Ujarnya, mereka sepatutnya pulang sekitar jam 12 tengah hari tetapi tidak berlaku sedemikian.

“Kami menunggu sehingga petang dan ahli keluarga juga turut turun ke laut mencari mereka namun tidak ditemui.

“Kami ada membuat panggilan telefon kepada mereka namun tidak dijawab. Sehinggalah malam kami cuba lagi membuat panggilan tetapi masih tidak dijawab,” tambahnya.

Nik Nur Shahira memberitahu, selepas itu mereka sekeluarga mengambil keputusan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin yang turut berada di lokasi mengesahkan kejadian tersebut.

Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) tiga lelaki berkenaan.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, berdasarkan aduan yang diterima pada jam 10.40 malam Ahad, bot dinaiki ketiga-tiga nelayan terbabit bernombor pendaftaran KNF 7086 dan berwarna kuning.

“Bertindak atas aduan, Maritime Rescue Coordination Centre (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan Op Carilamat pada jam 12.30 tengah malam dengan menggerakkan bot Perkasa 47 ke lokasi terakhir bot itu dilihat pada jarak lebih kurang 17 batu nautika dari Kuala Kemasin.

“Anggota bertugas turut digerakkan ke jeti pendaratan untuk mendapatkan maklumat lanjut di samping Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di jeti,” katanya.

Menurut beliau, MRSC Kuantan telah membuat permohonan Navigational Telex (NAVTEX) kepada Jabatan Laut Malaysia untuk memaklumkan mengenai Op Carilamat kepada komuniti perkapalan.

Ujarnya, komuniti nelayan setempat turut dimaklumkan untuk membantu pencarian.

Sumber : Sinar Harian