Trek Balapan Stadium Darul Makmur Dibuka Kepada Orang Ramai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Trek balapan di Stadium Darul Makmur akan dibuka kepada orang ramai bermula 26 Jun ini sebagai kemudahan beriadah awam.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, trek yang dinaiktaraf selama 11 bulan dengan kos bernilai RM4.6 juta ini juga tidak mengenakan sebarang caj.

“Trek ini boleh digunakan oleh orang awam bermula jam 4 petang hingga 7 malam pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan orang ramai yang datang diminta memakai pakaian dan kasut bersesuaian di trek yang disediakan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menggunakan padang untuk sebarang aktiviti, hanya trek balapan dibuka untuk kegunaan ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada rakaman video pengumuman pembukaan trek stadium kepada orang awam di Stadium Darul Makmur, hari ini.

Turut hadir Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur Pahang, Encik Izad Zainal Muhammad Safian.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan serta persekitaran stadium yang dibuka pertama kali kepada orang ramai untuk beriadah.

“Ini adalah kali pertama kita buka peluang sebegini. Jadi kita harap sangat orang ramai bertanggungjawab untuk menjaga kemudahan yang disediakan.

“Kita memberi penekanan dalam mengekang aktiviti vandalism. Jangan bawa barang-barang tajam, api atau air bancuhan yang boleh merosakkan trek ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak stadium meletakkan tempoh percubaan bagi penggunaan trek balapan secara terbuka dan ia amat bergantung kepada sikap dan cara masyarakat menggunakan trek ini secara baik atau sebaliknya.

– PAHANG MEDIA