Tulang Tapak Kaki Hancur Habuan Jerangkap Samar Komunis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Setiap kali terpandang parut sepanjang 7.6 sentimeter pada tapak kaki kanannya, ingatan Lans Koperal (B) Ab Wahab Hassan, 64, pasti melayang teringatkan tragedi menimpanya 39 tahun lalu.

Pada 24 Ogos 1984, tulang tapak kaki kanan perwira negara itu hancur selepas terpijak jerangkap samar dipasang komunis.

Ketika itu, dia bersama satu platun terdiri 30 anggota Batalion 301 Askar Wataniah terbabit Operasi Kota Golf untuk memburu saki-baki komunis di Lebuh Raya Timur Barat Batu 26, di Perak.

Tragedi itu cukup berbekas di hati Ab Wahab kerana sejak insiden itu dia tidak lagi dapat menyertai operasi bersama rakan lain.

Mengimbau kejadian hampir empat dekad itu, katanya, pada jam 11.17 pagi, dia bersama anggota lain mula memasuki hutan dan selepas berjalan sejauh 500 meter, dia terpijak jerangkap samar ditanam pengganas komunis.

“Sebelum itu, dua anggota yang berjalan di hadapan saya sudah hampir terpijak jerangkap samar, namun mereka dapat mengelak. Mungkin saya tidak bernasib baik ia terus meletup sebaik kaki diangkat.

“Akibat letupan itu, saya melambung setinggi tiga meter sehingga tulang tapak kaki kanan hancur dan pada masa sama, arwah Lans Koperal Salleh yang ketika itu berada satu meter turut cedera pada pergelangan tangan akibat terkena serpihan letupan jerangkap samar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Pak Umar, Selising, di sini.

Ab Wahab berkata, ketika itu kakinya mulai kebas dan apabila rakan membantu membuka but yang dipakai kaki kanannya sudah terkulai, selain urat juga putus dengan darah berlumuran.

“Jerangkap samar yang saya terpijak itu diperbuat daripada tin susu yang diisi pelbagai objek tajam seperti kaca dan besi,” katanya.

Bapa kepada tujuh anak yang turut mempunyai 19 cucu ini berkata, empat rakan terpaksa membawanya keluar menggunakan pengusung sebelum dihantar pekerja konsesi lebuh raya ke Hospital Besar Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan.

“Selama 36 hari saya dirawat di hospital sebelum dibenarkan pulang. Apa yang berlaku dianggap takdir, namun saya sedih kerana selepas insiden itu, saya tidak dapat lagi menyertai operasi bersama rakan lain,” katanya memaklumkan selepas sembuh dia hanya bertugas sebagai kerani gaji sehingga bersara pada 1 September 2002.

Ab Wahab berkata, apa yang dilalui perajurit terdahulu termasuk ramai yang tergadai nyawa wajar dikenang kerana ia untuk membolehkan generasi hari ini tidur lena.

Justeru, beliau mewakili warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepertinya yang termasuk dalam senarai penerima pencen hilang upaya berharap kerajaan mengkaji semula kadar pencen hilang upaya.

Selepas 22 tahun bergelar veteran ATM, Ab Wahab menerima pencen perkhidmatan RM1,400 selain pencen hilang upaya RM200 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

– BERITA HARIAN