Undi Cina Penentu Saingan PH Dan PAS Di DUN Kota Lama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Tidak seperti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di Kelantan, Kota Lama mempunyai keunikan tersendiri kerana ia satu-satunya kawasan yang mempunyai pengundi Cina paling ramai di negeri ini.

Kawasan N09 DUN Kota Lama mempunyai 33,043 pengundi iaitu 21,861 pengundi Melayu (66.15 peratus); 10,239 Cina (30.98 peratus) dan India 498 (1.5 peratus), manakala lain-lain kaum atau etnik seramai 445 pengundi (1.34 peratus).

Melihat kepada jumlah pengundi terbabit, jika di negeri lain, kebanyakan pengundi Cina lebih dominan kepada DAP, namun situasi itu berbeza di DUN Kota Lama, yang memperlihatkan mereka menyokong parti yang pelbagai.

Walaupun pengundi Cina merangkumi kira-kira 30 peratus dan menjadi penentu kemenangan mana-mana parti yang bertanding di situ, ia tidak menghalang kawasan terbabit daripada dikuasai PAS sejak 33 tahun lalu.

 Setiap kali pilihan raya juga bukanlah sesuatu yang janggal dan luar biasa jika melihat kaum Cina sepakat membuka bilik gerakan sempena pilihan raya sambil mengibarkan bendera PAS.

Situasi unik itu dikongsikan Lim Guan Seng, yang menjadi antara jentera PAS yang membuka bilik gerakan parti itu di Jalan Kebun Sultan, terletak dalam DUN berkenaan.

Beliau yang juga ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), berkata mereka yang membabitkan 30 pengundi Cina bertanggungjawab menjaga bilik gerakan itu, selain turut dibantu empat lagi rakan kaum India.

“Kami membuka bilik gerakan PAS ini sejak Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, mengumumkan untuk membubarkan DUN bulan lalu.

“Aktiviti kami ialah menjahit dan memasang bendera, mengedarkan risalah serta turut membantu calon bertemu pengundi Cina,” katanya.

Pengundi DUN Kota Lama, Tiew Ley Sea, 55, juga mengakui pengundi Cina di DUN berkenaan adalah daripada pelbagai parti politik.

“Orang kata asal Cina mesti DAP, namun bukan kami di sini. Dalam kalangan kami di sini, boleh dikatakan penyokong DAP tidak ramai, ada yang menyokong PAS, selain menyokong Barisan Nasional (BN).

“Untuk PRN kali ini, kita melihat kedua-dua calon sama ada daripada PAS dan BN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah bagus,” katanya.

Kali terakhir DUN Kota Lama dimenangi calon Cina daripada MCA yang mewakili BN adalah pada Pilihan Raya Umum ke sembilan (PRU9) pada 1995 menerusi, Leong Su Siang. Selepas itu BN menerusi calon MCA gagal meneruskan penguasaan di kerusi terbabit.

– BERITA HARIAN