UPNP Gempur Lokasi Perlombongan Dipercayai Bauksit Tanpa Lesen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menumpaskan kegiatan perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan sah, di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan maklumat, sepasukan lapan anggota Pasukan Elit UPNP yang sedang melakukan rondaan di sekitar daerah Kuantan ternampak aktiviti berkenaan pada jam 2.15 petang.

Beliau berkata, anggota UPNP kemudian melakukan intipan dan melihat aktiviti perlombongan itu menggunakan dua jengkaut dan tiga lori, sebelum melakukan serbuan.

“Pegawai Penguat Kuasa UPNP meminta pengusaha lombong itu mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral terbabit, namun gagal.

“Seterusnya, Pegawai Penguat Kuasa UPNP menahan enam lelaki serta menyita dua jengkaut dan tiga lori di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

– BERITA HARIAN