
PROSIDING pertama kes perceraian pasangan pelakon Uqasha Senrose, 33, dan Kamal Adli, 39, yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada Rabu terpaksa ditangguhkan ke 28 Oktober ini berikutan pihak defendan tidak hadir.
Peguam syarie mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf berkata, prosiding tidak dapat diteruskan selepas Kamal tidak menghadirkan diri ke mahkamah, walaupun telah dimaklumkan mengenai tarikh sebutan berkenaan.
“Alhamdulillah, Uqasha sendiri hadir seawal jam 9 pagi hari ini. Namun pihak defendan tidak hadir, cuma diwakili peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Saleh.
“Disebabkan ketidakhadiran defendan, kes terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan iaitu pada 28 Oktober,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.
Menurut Nurfarhana, prosiding pada minggu depan akan bertujuan mengukuhkan pengesahan sama ada pihak defendan bersetuju atau tidak dengan tuntutan cerai yang difailkan anak guamnya.
“Plaintif memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47 dengan alasan biasa iaitu tiada persefahaman. Oleh kerana anak guam merasakan tidak boleh meneruskan perkahwinan, maka keputusan untuk bercerai terpaksa diambil, walaupun bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyelamatkan rumah tangga berkenaan sebelum Uqasha akhirnya nekad.
“Kalau ikutkan memang pelbagai usaha supaya tidak terjadinya tuntutan perceraian ini. Tapi kita serahkan kepada jodoh. Kalau ada, ada… kalau tidak, inilah pengakhiran Uqasha,” katanya lagi.
Nurfarhana turut mengesahkan bahawa permohonan cerai difailkan pada 1 Oktober lalu, namun sehingga kini Kamal tidak menunjukkan sebarang usaha memujuk atau memperbaiki keadaan.
“Apa yang dimaklumkan oleh Uqasha, tiada sebarang usaha atau sesi pujukan daripada pihak Kamal. Saya tak pasti kalau sebaliknya, tetapi setakat ini tiada,” katanya.
Dalam pada itu, peguam berkenaan juga enggan mengulas mengenai dakwaan wujudnya orang ketiga atau sebarang spekulasi membabitkan kerjaya Kamal, kerana perkara itu akan dibicarakan dalam prosiding di hadapan hakim.
“Perkara itu saya tidak boleh komen kerana ia akan dibicarakan menerusi prosiding nanti,” jelasnya.
Bottom of Form
Sepanjang sesi temu bual bersama media, Uqasha banyak berdiam diri dan sekadar menggeleng kepala apabila diajukan soalan, namun sempat menitipkan pesanan ringkas kepada suaminya agar memberikan kerjasama kepada mahkamah.
“Saya cuma harap dia (Kamal) beri kerjasama. Jangan buat tidak hadir begini, saya pun ada kerja saya,” katanya.
Terdahulu, Uqasha tiba ke mahkamah ditemani peguamnya sekitar jam 9 pagi bagi menghadiri prosiding sebutan pertama kes berkenaan.
Menurut peguam yang mewakili pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada persefahaman antara pasangan terbabit.
Sebelum ini, rumah tangga pasangan terbabit dilaporkan mula bergolak sejak April lalu, namun bukan disebabkan kehadiran orang ketiga. Difahamkan, mereka sudah tidak tinggal sebumbung, dan Uqasha kini menetap di rumah ibunya.
Beberapa hantaran berbaur luahan hati yang dimuat naik oleh Uqasha di media sosial sebelum ini turut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.
Untuk rekod, Uqasha dan Kamal disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan yang diadakan di Janda Baik, Pahang.
Pasangan itu turut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Sumber : SINAR HARIAN





