Wanita Sesat Di Hutan Bukit Pelindung Diselamatkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Wanita berdepan detik cemas apabila gagal menemui jalan keluar ketika beriadah di hutan Bukit Pelindung, di sini, hari ini.

Mangsa kemudian nekad menghubungi bomba untuk meminta bantuan sebelum dia berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita berusia 20 tahun itu kira-kira 8.59 pagi tadi.

Menurutnya, ketika itu mangsa sedang membuat aktiviti mendaki secara bersendirian di bukit berkenaan.

“Bagaimanapun, wanita berkenaan tersasar dari trek laluan yang disediakan untuk aktiviti pendakian dan berjoging.

“Enam anggota termasuk pegawai dari BBP Kuantan diarahkan membuat operasi pencarian sebaik menerima panggilan.

“Dalam operasi itu, pihak bomba dapat berhubung dengan mangsa melalui talian telefon untuk mengenal pasti kedudukannya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Zulfadli berkata, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan pihak bomba segera membawanya turun dari lokasi terbabit.

Sumber: METRO