26 Buah Sekolah, Orang Asli Terima Sumbangan Komputer Theta Edge

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU  – Theta Edge Berhad (Theta Edge) hari ini menyampaikan sumbangan 65 unit komputer kepada sekolah dan komuniti Orang Asli di negeri ini menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) #thetaCares.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge, Nuraslina Zainal Abidin berkata, Terengganu adalah negeri pertama yang menerima sumbangan itu pada tahun ini.

“Hari ini, kita agihkan sebanyak 65 komputer kepada 26 buah sekolah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, tiga pusat komuniti seliaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu dan tiga madrasah seliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di negeri ini.

“Keseluruhannya, kita sasarkan mahu menyumbang sebanyak 1,500 unit komputer kepada sekolah, komuniti dan Majlis Belia Negeri di seluruh negara pada tahun ini.

“Semoga sumbangan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini dapat melonjakkan lagi industri pendigitalan negara termasuk di kawasan luar bandar dan komuniti Orang Asli di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penyerahan 65 komputer itu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPNT, Kasman Embong di Sekolah Kebangsaan(SK) Sultan Sulaiman 2 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus (TH) Cawangan Kuala Terengganu, Roszailizan Awang dan Pegawai JAKOA Terengganu, Razali Ali serta guru besar sekolah-sekolah dan pengurusan madrasah yang menerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, Kasman berkata, pihaknya memilih sekolah tertentu untuk menerima sumbangan komputer tersebut bagi melancarkan urusan pentadbiran dan kegunaan semua murid di sekolah berkenaan.

“Contohnya, SK Sungai Berua di Hulu Terengganu yang agak teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini. Banyak juga peralatan komputer yang rosak, jadi sekolah itu terpilih untuk menjadi penerima sumbangan komputer daripada Theta pada hari ini.

– UNIT BERITA MANIS FM