3,000 biji akok habis dalam masa 6 jam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS: Kuih ‘Akok Risda’ di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang antara yang menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan orang ramai setiap kali Ramadan.

Kuih yang dikatakan paling popular di daerah ini menjadi pilihan kerana tidak dijual pada bulan lain, menyebabkan orang ramai sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.

Tidak hairanlah, setiap hari, akok yang diusahakan Nooraini Mat Junoh, 55, dan suaminya, Kamaruzaman Pa’adek, 61, mampu terjual lebih 3,000 biji dalam tempoh enam jam bermula jam 9 pagi.

Anaknya, Norlidawatie, 27, berkata keunikan akok dijual keluarganya adalah keenakan rasa hingga mempunyai pengikut tersendiri.

Katanya, seawal jam 9 pagi, orang ramai sudah boleh membeli kuih itu sehingga jam 3 petang.

“Kami bersyukur kerana pelanggan yang hadir bukan saja dari Pasir Mas dan Rantau Panjang, tetapi juga dari Pasir Puteh, Bachok dan Tanah Merah, semata-mata mahu merasai akok ini.

“Setiap hari juga ada peniaga dari Jerteh, Terengganu yang membeli di sini untuk dijual di tempat mereka,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, akok berkenaan dihasil mengikut resepi ibunya sejak 21 tahun lalu dan tidak diubah bagi mengekalkan rasa aslinya.

“Alhamdulillah strategi kita hanya menjual akok pada Ramadan menyebabkan orang ramai sentiasa menunggu untuk merasainya. Selain di Pasir Mas, kami juga mempunyai cawangan di Berek 12, Kota Bharu.

“Tahun lalu, akok kami naik pesawat untuk dijual di Lembah Klang. Selalunya permintaan tinggi di Lembah Klang pada pertengahan puasa dan kita menjangkakan masih ada permintaan dari Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Selain akok, kedai berkenaan turut menjual 15 jenis lauk pauk termasuk ikan percik untuk juadah berbuka.

PASIR MAS 20 MEI 2018. Norlidawatie Kamaruzaman, 27, menunjukkan kuih akok yang dijual di kedainya di Jalan Pasir Mas – Rantau Panjang dengan harga RM5 sebiji. 

Sumber : BH Online