30,000 pekerja asing tanpa izin didaftar di bawah Pelan Rekalibrasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kerajaan mengenal pasti 30,000 pekerja asing tanpa izin untuk berdaftar di bawah Pelan Rekalibrasi bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pihak industri susulan daripada pembekuan pengambilan pekerja asing baharu dalam negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, langkah itu bagi mengatasi penularan Covid-19 di tempat kerja dan komuniti.

“Mereka bukan warga asing tidak mempunyai dokumen, mereka pelik sikit sebab masuk dalam negara ada dokumen, tetapi sebab syarikat mereka bekerja gulung tikar jadi warga asing ini tidak boleh balik dan jadi Pati (pendatang asing tanpa izin).

“Kita sedang buat program Dekalibrasi dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, jadi kes seperti ini kalau sah memang jadi Pati sebab syarikat gulung tikar kita akan masukkan mereka dalam pelan ini.

“Jika tidak, kita akan buat Pelan Dekalibrasi Pulang dan hantar mereka balik ke negara masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), hari ini.

Saravanan berkata, saringan pekerja asing Covid-19 di tempat kerja yang ketika ini hanya untuk enam negeri zon merah saja akan diperluaskan kepada semua negeri.

“Selepas kita melihat keberkesanan kaedah ini, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara meluluskan saringan pekerja asing Covid-19 ke seluruh negara.

“Kita beri ruang kepada majikan untuk melakukan saringan pekerja asing mereka sehingga bulan ini dan selepas 31 Mac kita akan ambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, mengambil kira pekerja asing sedia ada mengikut data seramai 1.7 juta berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sehingga hari ini lebih 1 juta pekerja asing sudah menjalani saringan.

Sumber: My Metro