4 tan al-Quran, Yasin, buku doa rosak dilupuskan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kira-kira empat tan al-Quran termasuk buku doa yang rosak akibat banjir di Pahang awal tahun ini sudah dilupuskan.

Pengusaha Pusat Pemulihan al-Quran Temin Mohamad Zakaria berkata, pihaknya mula menerima naskah berkenaan daripada Pejabat Agama Islam daerah pada penghujung Januari lalu dengan kerja-kerja pelupusan masih dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, proses pelupusan al-Quran mengambil masa sehingga dua hari dan perlu dilaksanakan dengan rapi mengikut syariat Islam bagi memelihara kemuliaannya.

“Keseluruhannya kami menerima hampir enam tan al-Quran, buku doa dan yasin yang rosak disebabkan banjir dari Temerloh, Jerantut dan Lipis. Sehingga kini masih berbaki dua tan untuk dilupuskan.

“Proses pelupusan dilaksanakan setiap hari sejak Januari lalu. Kesemua naskah berkenaan harus dikeringkan terlebih dahulu sebelum pembakaran dilakukan.

“Hanya 200 kilogram naskah dapat dibakar dalam satu sesi yang memerlukan masa 48 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bercerita lanjut mengenai proses pelupusan berkenaan, beliau yang mengusahakan pusat berkenaan dengan rakannya Zainal Idris berkata, kitab kalamullah itu akan dibuka dan disusun untuk dikeringkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mesin insinerator untuk tujuan pembakaran dan dibiarkan sehingga keesokannya.

“Biasanya kami akan mula membakar sekitar 8 pagi sehingga 5 petang, kemudian biarkan naskah berkenaan sehingga keesokan harinya di dalam mesin itu supaya bara api padam dan menjadi abu sepenuhnya,” katanya yang mengusahakan pusat berkenaan sejak 2014.

Menurut beliau, sejurus selesai pembakaran, proses pembekuan dilakukan dengan memasukkan abu ke dalam acuan seramik sekitar 10 hingga ke 15 minit.

“Kami akan pastikan pembakaran itu sempurna iaitu bebas karbon sebelum melakukan proses pembekuan ini untuk mengelakkan abu berterbangan yang kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Kampung Temin, Jerantut untuk ditanam,” jelasnya.

Sumber: My Metro