Ahmad Uzair diiktiraf MBOR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Petaling Jaya: Luar biasa kemampuan yang dimiliki, adik Ahmad Uzair Ahmad Syauqi, 13, apabila berjaya menempah nama sebagai peserta autisme termuda Super Randonneur.

Gelaran Super Randonneur itu diberikan kepadanya tahun lalu selepas berjaya melengkapkan kayuhan bagi kategori 200 kilometer (km); 300 km; 400 km dan 600 km.

Pencapaian anak ketiga daripada empat beradik itu turut diiktiraf Malaysian Book of Record (MBOR) sebagai peserta termuda yang berjaya menamatkan kayuhan jarak jauh mengikut tempoh ditetapkan bagi setiap kategori itu.

Malah, anak kelahiran Selangor ini juga turut bersaing dalam kejohanan berbasikal disertai peserta dewasa yang dua kali ganda usia daripadanya.

Ahmad Uzair berjaya memperoleh gelaran itu atas bimbingan kumpulan Cycle Uzair Cycle terdiri daripada tujuh ahli yang sama-sama melakukan kayuhan termasuk bapanya, Ahmad Syauqi Ahmad Said, 39.

Ahmad Syauqi, yang juga jurulatih peribadi Ahmad Uzair berkata, cabaran utama dalam setiap latihan atau kejohanan adalah kawalan stamina setiap ahlinya.

“Stamina yang dimiliki Uzair lebih hebat berbanding ahli lain yang berusia antara 39 hingga 28 tahun.

“Dari segi latihan stamina Uzair sudah cukup hebat kerana kelebihan dan keistimewaan yang dimilikinya.

“Jadi, latihan kami perlu konsisten bersama Uzair supaya stamina sama sepertinya kerana kami bukan setakat menjadi peserta tetapi juga bertugas sebagai pemantau dan pembantu mental serta fizikalnya ketika berbasikal,” katanya ketika ditemui Harian Metro, ketika penyampaian sijil MBOR kepada anak ketiganya itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Menceritakan perancangan kayuhan seterusnya, Ahmad Syauqi berkata, kumpulannya dan Ahmad Uzair kini sedang dalam latihan menamatkan kategori 1,300 km yang akan dilakukan Jun ini.

Menurutnya, kayuhan itu akan bermula dari Seremban melalui Bukti Fraser, Johor, Pantai Timur dan kembali semula ke lokasi pertama.

“Sasaran kami adalah melayakkan diri ke kejohanan Audax Rodonneur yang akan berlangsung di Paris pada 2023.

“Kami belum mendapatkan sebarang tajaan dan kini sedang berusaha mengumpulkan wang bermula dari tahun ini,” katanya yang berkongsi anggaran kos bagi seorang peserta adalah RM10,000 untuk ke kejohanan itu.

Ahmad Syauqi berkata, pihaknya berterima kasih atas tajaan dan sokongan yang diberikan syarikat insurans, FWD Takaful kepada Ahmad Uzair dalam setiap kejohanan yang disertainya tahun ini.

“Bagi setiap satu kilometer, FWD Takaful akan menyumbang RM10 kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan setakat ini Ahmad Uzair sudah mengayuh sejauh 1,200 km bermula Januari iaitu bersamaan RM12,000 berjaya disumbangkan.

“FWD Takaful juga menaja penyelenggaraan basikal saya dan Uzair, serta kos makan minum, logistik, penginapan kumpulan kami,” katanya.

Sementara itu, Jamaliah berkata, pencapaian Ahmad Uzair wajar dijadikan contoh dan inspirasi.

“Secara peribadi, saya amat kagum dengan semangatnya.

“Saya juga tersentuh dengan sokongan setiap ahli keluarga kepada Uzair dan berharap ibu bapa lain turut mencontohinya terutama dalam memberi galakkan kepada minat anak-anak,” katanya.

Sumber: My Metro