Aiman, Azwani Atlet Terbaik Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Atlet berbasikal kebangsaan, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan atlet karate negara, Siti Nur Azwani Nor Azli masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2021/2022 dalam Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) di Wisma Darul Iman, malam tadi.

Aiman yang juga pelumba profesional Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) muncul pemenang selepas mengetepikan empat lagi pencabar termasuk pemanah Olimpik negara, Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Izuddin Abdul Rani (pelayaran), Muhammad Shahrul Aimy Kamaru Hisham (gimnastik) dan seorang lagi atlet berbasikal, Zulfikri Zulkifli.

Siti Nur Azwani pula menewaskan tiga lagi pencabar iaitu pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal) dan pelari Olimpik, Azreen Nabila Alias.

Pemilihan Aiman atas kejayaannya memenangi pingat emas Sukan SEA di Vietnam tahun lalu, perak dan gangsa Kejohanan Kebangsaan Malaysia 2021 dan 2022 serta Jersi Merah Le Tour de Langkawi 2022.

Pemilihan Siti Nur Azwani pula berdasarkan pencapaian memenangi emas Sukan SEA di Vietnam, emas dan perak Sukan Universiti ASEAN 2022, emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 serta gangsa Sukan Tempur Universiti Dunia.

Kejayaan itu menyaksikan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,000 berserta piala pusingan yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

“Sejujurnya saya tidak menduga mendapat anugerah ini, apatah lagi empat lagi pencabar termasuk pemanah Olimpik negara, Khairul Anuar dan tiga lagi pencabar juga melakar pencapaian hebat,” kata Aiman menerusi ucapan ringkas kerana dia kini berada di Sepanyol.

Nada sama turut diluahkan Siti Nur Azwani yang juga bagaikan tidak percaya diumumkan sebagai pemenang, namun dia tekad jadikannya sebagai penyuntik semangat untuk terus memburu pelbagai gelaran lagi selepas ini.

“Kejayaan ini mampu menyuntik lagi semangat saya untuk terus memburu kejayaan pada masa akan datang dalam pelbagai kejohanan,” kata penuntut tahun dua Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.

Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik masing-masing menjadi milik atlet berbasikal negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan atlet olahraga, Nani Shaiera Zawawi manakala Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dan atlet kanu, Shahida Asyiqin Rusli.

Bagi kategori Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik masing-masing menjadi milik Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Pasukan Berbasikal Pursuit manakala Anugerah Kepimpinan Sukan menjadi milik Amir Amri Muhammad daripada sukan ragbi.

– BERITA HARIAN