Aktiviti ATV di kawasan pantai, riadah perlu dipantau

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Ketiadaan laluan khusus untuk aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) khususnya di kawasan pantai, mengundang kebimbangan orang ramai.

Tinjauan di beberapa kawasan pantai di sini, Bachok, dan Tumpat mendapati tiada laluan khusus disediakan selain tiada pengawasan oleh pengusaha kenderaan berkenaan.

Malah, ATV dilihat melalui kawasan dipenuhi orang ramai atau tidak mengikut laluan khusus itu secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada pengurusan ATV berdaftar yang sememangnya mempunyai laluan khusus untuk aktiviti berkenaan.

Bagi pengunjung, Zaharah Yaacob, 67, penggunaan ATV di kawasan tumpuan ramai yang tidak mempunyai laluan khusus boleh mengganggu ketenteraman orang awam terutamanya kanak-kanak yang beriadah di kawasan pantai.

“Meskipun dalam keseronokan menunggang ATV yang juga sangat terkenal sebagai antara sukan lasak disukai ramai, namun pengguna dan pengusaha ATV sepatutnya terlebih dahulu memikirkan keselamatan orang awam jika dibenarkan bermain di kawasan tumpuan ramai.

“Memanglah tidak ada lagi kejadian yang tidak diingini berlaku, tetapi kita harus berjaga-jaga kerana malang tidak berbau dan mungkin ada dalam kalangan penunggang ATV kurang mahir ketika mengendalikan kenderaan ini sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Justeru itu, penggunaan ATV perlu mempunyai laluan khusus dan kawasan pantai yang menjadi tempat tumpuan ramai tidak sesuai untuk aktiviti sukan lasak ini,” katanya ketika ditemui di Pantai Geting, di sini, hari ini.

Bagi penjual makanan, Che Muhammad Faizal Che Soh, 28, berkata, ATV yang ada di kawasan pantai secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung memandangkan aktiviti sukan lasak itu disukai ramai.

“Namun, aktiviti itu perlu pengawasan khusus kerana bimbang kawasan pantai ini ramai budak dan kita khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

“Aktiviti itu tidak salah kerana boleh menarik pengunjung, namun perlu dilakukan secara teratur dan laluan khusus supaya tidak mengganggu orang ramai yang datang beriadah dan kanak-kanak yang sedang bermain wau,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan daripada berlakunya kemalangan yang tidak diingini sehingga mengancam keselamatan orang awam.

“Dalam masa sama, kami juga akan menasihati pengusaha ATV supaya mengikut peraturan yang ditetapkan selain meletakkan tanda sempadan sebagai peringatan had operasi kenderaan lasak ini ketika berada di kawasan tumpuan ramai.

“Kami mengakui penggunaan kenderaan lasak ini sedikit sebanyak akan mengundang risiko kepada pengguna dan mereka diingatkan supaya berwaspada ketika menggunakan ATV,” katanya.

Sumber: My Metro