Banjir di Kuala Terengganu, dua PPS telah dibuka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Seramai 50 mangsa banjir daripada 13 buah keluarga dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka jam 7.15 pagi, di sini, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, setakat jam 11.30 pagi tadi, seramai 33 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol.

Sebuah lagi PPS iaitu di SK Chendering turut dibuka bagi menempatkan seramai 17 mangsa banjir daripada empat buah keluarga.

Berdasarkan kenyataan tersebut, ketika ini keadaan cuaca hujan melanda di seluruh daerah di negeri itu.

Sementara itu, menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemas kini jam 11.45 pagi, tiga sungai di Terengganu menunjukkan trend menaik dan telah melebihi paras bahaya.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu.

Dua lagi sungai melebihi paras amaran ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu.

Sumber: SINAR HARIAN