Belajar Menjahit Kasut Seminggu, Kini Pengusaha ‘Klinik Kasut’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU – Seorang penjahit kasut dari Kampung Tanggol, Kuala Berang yang dulunya bekerja sebagai pemandu kereta sewa di Perak kini mengusahakan ‘Klinik Kasut’ selepas pulang ke kampung halaman untuk menjaga ibunya yang sakit,

Zainuddin Ibrahim berkata, dalam pada menjaga ibunya sehingga ke akhir nafas pada 2013, dia telah melakukan banyak pekerjaan namun tiada pendapatan tetap.

Memandang soal rezeki itu luas, dia melaburkan sekitar RM7,000 secara berperingkat untuk membangunkan Klinik Kasut terbabit.

“Saya buat kerja ini selepas menuntut ilmu ketika bekerja membaiki kasut di Perak. Tak sangka pula pengalaman belajar seminggu dulu, menjadi sumber pendapatan sekarang”, katanya yang turut bersyukur kedainya dapat beroperasi sebulan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

Ditanya mengenai nama Klinik Kasut, dia berkata ia gelaran paling sesuai kerana setiap kasut mempunyai kerosakan yang berbeza.

“Kasut ni macam orang sakit yang datang ke klinik dengan pelbagai masalah kesihatan. Ada yang batuk, selesema, demam. Begitu juga dengan kasut. Ada banyak jenis kasut dengan kerosakan berbeza.”

Tuahnya sehingga mendapat perhatian pelanggan dari dalam negeri dari pelbagai daerah, selain itu dia turut menerima pelanggan paling jauh iaitu dari Kuantan, Pahang. Namunpun begitu, setiap kejayaan mesti ada cabarannya. Dia turut berkongsi bahawa cabaran utama dialami ialah pelanggan yang sukar dihubungi untuk mengambil kasut yang telah dibaiki.

Dia juga bersyukur perkhidmatannya mendapat sokongan orang sekeliling serta kawan-kawan.

-Sinar Harian