Berhati-Hati Dengan Sindiket Sewa Tanah Untuk Lupus Sisa Toksik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Orang ramai terutamanya penduduk kampung diingatkan supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik sindiket yang menyewa tanah untuk melupuskan sisa toksik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, maklumat tersebut sebahagian besarnya diperoleh hasil aduan orang ramai yang mengesan taktik kotor sindiket tidak bertanggungjawab itu.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan adalah daripada kilang-kilang haram yang tidak mendapat kelulusan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau perkara itu dan kita harap orang ramai akan terus membuat aduan kepada JAS jika mengesan perbuatan sindiket tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar berkata, sindiket tersebut dikesan tidak menggunakan nama syarikat mereka sebaliknya melantik ejen bagi melupuskan sisa toksik berkenaan.

“JAS sebelum ini telah menangkap sindiket membuang sisa toksik dan ada antara mereka telah didakwa di mahkamah atas kesalahan itu. Sebab itulah kita minta orang ramai yang mengesan taktik sindiket ini (lupus sisa toksik) segera melaporkan kepada JAS untuk kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berkemungkinan menaikkan kadar denda yang lebih tinggi atas kesalahan pencemaran alam sekitar demi memberi kesedaran kepada semua pihak.

“Ini penting kerana kita mahu kilang-kilang di negeri ini melaksanakan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA