Bilangan Kedatangan Pelancong Ke Pahang Terus Meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB – Jumlah kedatangan pelancongan ke Pahang merekodkan peningkatan sebanyak 21 peratus bagi suku kedua tahun ini kepada 2.23 juta pelancongan berbanding 1.84 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, dengan peningkatan ini beliau percaya sasaran 8 juta pelancong yang akan datang ke Pahang boleh dicapai menjelang akhir tahun ini.

“Pembukaan sempadan serta peralihan ke fasa endemik telah menunjukkan perkembangan yang amat positif dan menggembirakan para penggiat industri pelancongan secara keseluruhannya.

“Pembukaan kembali produk-produk pelancongan seperti Taman Eko-Rimba Mossy Forest, Menara Kuantan 188 dan pelbagai lagi akan menarik lebih ramai pelancong ke Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser 2022 di sini, semalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan Penutup Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Sementara itu, beliau berkata, pengumuman YAB Menteri Besar Pahang untuk mendaftarkan Lipis sebagai Unesco Global Geopark dijangka memberi impak yang positif kepada sektor pelancongan.

“Selain itu ia juga akan mengukuhkan lagi imej Negeri Pahang sebagai negeri yang memberikan keutamaan dalam penjagaan alam sekitar,” katanya.

Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser ini mendapat penyertaan sebanyak 70 kumpulan dari seluruh Malaysia termasuk penyertaan dari luar negara seperti Thailand, Singapura, India, Myanmar, Vietnam, Filipina dan New Zealand.

Sumber: PAHANG MEDIA