SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Diupah RM100 sehari hantar ketum kepada pelanggan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar air ketum kepada pelanggan dengan upah RM100 sehari ditahan polis di hadapan sebuah rumah di Tendong di sini.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan oleh anggota Balai Polis Pasir Mas jam 7.30 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya turut merampas 180 kilogram (kg) daun ketum dan 357 bungkus air ketum.

“Kami turut merampas sebuah Proton Wira, tong gas, periuk, dapur dan barangan lain dengan nilai keseluruhan RM15,460.

“Suspek ditahan ketika berada dalam Proton Wira terbabit di depan sebuah rumah. Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui air dan daun ketum,” katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, hasil soal siasat, suspek mengaku diupah RM100 sehari oleh seoreang lelaki warga Thailand untuk menghantar air ketum terbabit kepada pelanggan.

Kata beliau, suspek juga memaklumkan biasa berurusan di kawasan kampung di Wakaf Merah, Tendong.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif Methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: My Metro