England Bangkit Ikat Jerman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Gareth Southgate berharap pengalaman menangani tekanan dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA akan menjadi bekalan berharga England ke Piala Dunia nanti.

England kendalian Southgate bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengikat Jerman 3-3 dalam saingan Liga A Kumpulan 3 Liga Negara-Negara.

The Three Lions sudah tersingkir dari liga tertinggi itu dan akan menuju ke Qatar dua bulan lagi tanpa sebarang kemenangan dalam enam perlawanan.

Kepercayaan yang diberikan Southgate kepada Harry Maguire memakan diri apabila bek tengah itu menjadi punca Jerman mendapat dua gol awal di babak kedua.

Maguire mendapat sokongan padu oleh Southgate walaupun bek tengah itu tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Manchester United kendalian Erik ten Hag.

Ilkay Gundogan membuka jaringan menerusi sepakan penalti selepas Maguire kehilangan bola kepada Jamal Musiala dan dia mengasari pemain tengah Bayern Munich itu.

Kai Havertz kemudian melencongkan bola ke gawang England hasil serangan balas selepas Maguire kehilangan bola di kawasan Jerman.

Namun dua gol dalam tempoh tiga minit menukar suasana di Wembley dan harapan ke atas Southgate menjelang kejohanan di Qatar.

Luke Shaw turut berada dalam kesebelasan utama walaupun kurang mendapat minit permainan di United dan dia membalas kepercayaan itu dengan gol pada minit ke-72.

Tiga minit kemudian, dua pemain gantian – Bukayo Saka membuat umpanan kepada Mason Mount untuk gol penyamaan England.

Harry Kane meletakkan England di depan menerusi sepakan penalti ketika permainan berbaki tujuh minit, namun Havertz memastikan satu mata buat Jerman selepas membuat tindakan susulan kepada percubaan Serge Gnabry yang gagal ditangkap kemas penjaga gol England, Nick Pope.

“Pengalaman itu yang kami perlukan. Anda akan menerima tekanan di Piala Dunia. Anda boleh cuba mengelaknya, tetapi ia akan tetap hadir.

“Lebih baik kami merasakannya sekarang dan tahu cara menanganinya. Pemain-pemain bertindak balas dengan cara yang betul – kami menunjukkan karakter tetapi kualiti yang tinggi,” kata Southgate.

Sementara itu pengendali Jerman, Hansi Flick berkata: “Kami melakukan kesilapan individu – kami tidak boleh mensia-siakan kelebihan dengan cara begitu.

“Tetapi kami bangkit, ia sesuatu yang positif. Masih banyak yang perlu dilakukan tetapi kami tetap berfikiran positif.”

Sumber : BERITA HARIAN