Hampir separuh kompaun ingkar SOP di Kelantan kerana merentas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kota Bharu: Hampir separuh daripada kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikeluarkan polis Kelantan membabitkan kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, sejumlah 496 kompaun dikeluarkan kepada individu dan premis yang didapati melanggar SOP sejak 1 Jun hingga 23 Jun.

“Kompaun paling banyak yang dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan rentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran iaitu sebanyak 204 kompaun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah dekat Kemumin, Pengkalan Chepa di sini.

Beliau berkata, kesalahan lain turut direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (110); premis perniagaan gagal menyediakan peralatan pemeriksaan suhu dan rekod diri pelanggan (69); individu terlibat aktiviti tidak dibenarkan ketika PKP (39); tiada penjarakan fizikal (31); keluar rumah tanpa alasan munasabah (25); premis beroperasi lebih masa (12); dan membawa penumpang berlebihan (enam).

Bagi kesemua kesalahan ini, polis hanya mengeluarkan kompaun mengikut kadar ditetapkan dalam SOP tetapi keputusan muktamad terserah kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan setiap kompaun masih boleh dibuat rayuan dalam tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

Sumber: My Metro