Hanya Tukhtasinov, Mamut Dikekalkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) membayangkan hanya mengekalkan dua daripada sembilan pemain importnya musim ini dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, setakat ini dua pemain import yang berada dalam senarai pasukannya iaitu pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov dan penyerang, Ivan Mamut.

Katanya, ‘arkitek’ terbaik skuad kebangsaan Uzbekistan itu masih berbaki kontrak sehingga akhir tahun depan manakala penyerang kelahiran Croatia itu akan disambung kontrak.

Jelasnya, tambahan pemain import lain akan dibincangkan bersama ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang sudah disambung kontrak minggu lalu.

“Selain Tukhtasinov yang masih berbaki lagi kontrak selepas diikat selama 18 bulan bermula Julai lalu, kita juga sudah berbincang dengan Mamut untuk menyambung kontraknya pada musim depan.

“Kita harap ia menjadi kenyataan lebih-lebih lagi khidmat mereka masih diperlukan pasukan manakala tambahan pemain import lain atas perbincangan dengan jurulatih,” kata Mohd Sabri.

Semalam portal akhbar ini melaporkan pemain tengah, Habib Haroon mengesahkan dia bakal meninggalkan TFC bagi mencari pengalaman baharu bersama pasukan lain pada musim depan.

Selain Tukhtasinov, Mamut dan Habib, musim ini TFC mengikat penyerang Ghana, Jordan Mintah, Omid Nazari (Filipina), Sony Norde (Haiti), Sardor Kulmatov (Uzbekistan) dan Adisak Kraisorn manakala pertahanan import kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic dalam proses naturalisasi.

– BERITA HARIAN