JAKM: Kelantan Jangka 50,000 Pengunjung Hadir – Annuar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seramai 50,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat negeri Kelantan yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai depan di Stadium Sultan Muhammad IV, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, yang juga penyelaras JAKM negeri itu, berkata pihaknya optimis dapat mencapai sasaran tersebut kerana pelbagai aktiviti dan acara menarik bakal disajikan sekali gus mampu mengatasi jumlah kehadiran pengunjung di negeri lain.

“Kita berhasrat untuk menjadikan JAKM di Kelantan ini sebagai satu program yang memberikan peluang kepada rakyat seperti para usahawan, pemain industri kreatif, belia dan remaja menyertai program-program yang disediakan.

“Sememangnya fokus utama kita adalah menyampaikan segala perkhidmatan kerajaan sebagaimana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya rakyat dapat mengetahui lebih dekat lagi apa yang dilakukan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai JAKM peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara pengisian program yang akan diadakan ialah Wacana Ulama Nusantara membabitkan ulama terkenal dari Malaysia, Indonesia dan Thailand selain persembahan Muay Thai Antarabangsa.

Sumber: BERNAMA