JKM Terengganu Mula Agih Makanan Hadapi Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mula mengagihkan barangan keperluan asas dan bekalan makanan ke pangkalan hadapan serta depoh mini di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata proses pengagihan kepada 149 pangkalan hadapan dan 17 depoh mini itu dilakukan secara berperingkat mulai awal Oktober.

Katanya, proses itu dijangka akan selesai dalam masa yang terdekat.

“Dengan usaha ini dapat mengatasi keadaan banjir sekiranya tidak ada kejadian luar jangka yang terjadi.

“Menurut maklumat yang diperolehi terdapat 300 lokasi yang dikenal pasti berlakunya banjir pada tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Terengganu 2022 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah JKM negeri Mazura Ngah Abd Manan dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Tambah Hanafiah, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2.5 juta sebagai persediaan awal menghadapi banjir dan telah mengarahkan supaya diwujudkan hospital sementara di setiap daerah.

Beliau berkata inisiatif itu bagi memudahkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang mengalami masalah kesihatan mendapat rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Kita meminta orang ramai untuk melakukan solat hajat supaya tidak berlaku banjir besar yang diluar jangkaan pada tahun ini,” katanya.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM