JPJ Serah LKM Kepada ‘Surau Bergerak’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menyerahkan lesen kenderaan motor (LKM) kepada seorang peniaga kendera saji yang mewakafkan bas sekolah mininya mnejadi surau bergerak.

Menerusi laporan Bernama, Yusuf Hadi Al Hafidz Sapai, 41 berkata, beliau membeli kenderaan terpakai itu pada harga RM8,000 daripada seorang kawan untuk diubah suai menjadi kendera saji namun pelaksanaan PKP pada Mac 2020 menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti.

“Selepas berbincang bersama rakan peniaga lain, akhirnya saya memutuskan mahu mengubah suai bas sekolah mini itu menjadi surau bergerak.

“Hasil sumbangan orang ramai, proses ubah suai dengan kos hampir RM40,000 ini berjaya direalisasikan dan saya berterima kasih kepada JPJ Terengganu kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Lesen Kenderaan Motor untuk bas mini surau bergerak itu yang disampaikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim sempena majlis sambutan Aidilfitri JPJ Terengganu di sini hari ini.

Surau bergerak itu dilengkapi penghawa dingin, tempat wuduk, ruang imam, lampu, jam waktu solat serta bumbung bagi ruangan solat pada bahagian luar kenderaan yang mampu menampung 19 jemaah dalam satu masa.

Sementara itu, Zailani dalam sidang medianya berkata JPJ sedia membantu mana-mana pihak atau individu untuk mengubah suai kenderaan menjadi surau bergerak seperti mana dilakukan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Terengganu sebagai tanggungjawab sosial mereka.

“Tidak semestinya umat Islam sahaja, apa-apa bangsa dan agama yang berhasrat melakukan ubah suai kenderaan untuk sesuatu yang bermanfaat kepada orang ramai pun akan dibantu agar ia mematuhi spesifikasi dan peraturan ditetapkan JPJ.

“Surau bergerak ini yang diletakkan di dataran jambatan angkat diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu kerana kewujudannya dapat memberi kemudahan solat yang selesa kepada umat Islam yang berkunjung ke kawasan tersebut,” katanya.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM