JPNP Batal Lesen Pemindah Berkuatkuasa Serta Merta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah membatalkan lesen pemindah berkuatkuasa serta merta bagi kawasan lesen pembersihan hutan di Bentong yang tular baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh JPNP hari ini, pihak JPNP telah membatalkan lesen pemindah iaitu Borang 5 bagi kawasan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor lain dan kepentingan awam.

Menurut semakan JPNP, kawasan tersebut merupakan kawasan lesen pembersihan hutan berstatus Tanah Milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan kira-kira 3.59 hektar (8.90 ekar).

Kawasan itu juga pernah diviralkan pada penghujung tahun 2020 berkaitan dengan pencemaran di Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini.

“Rentetan daripada itu, JPNP telah mengambil tindakan untuk menghentikan sementara kerja di kawasan lesen ini bagi tujuan semakan dan siasatan lanjut.

“Kemudiannya, pihak pelesen telah membuat permohonan untuk menyambung semula lesen dan menggunakan jalan pengeluaran yang lain iaitu jalan lama kawasan bekas lesen Projek Talian Penghantaran TNB yang terletak di dalam Hutan Simpan Lentang sebagai satu-satunya jalan alternatif ke kawasan lesen,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Namun demikian, jalan pengeluaran yang akan digunakan itu pernah menjadi isu kerana dikatakan menjadi punca kepada bencana kepala air yang berlaku di KM52.4 Lebuhraya KL-Karak pada November 2015.

“Hasil siasatan oleh Jabatan Teknikal pada masa tersebut mendapati bencana berlaku adalah disebabkan kadar hujan yang luarbiasa di kawasan Lentang.

“Oleh itu JPNP telah meluluskan permohonan untuk memulakan kerja pada 15 Julai 2021 dan juga permit jalan yang melalui Hutan Simpan Lentang serta permit matau kepada pelesen,” menurut kenyataan tersebut.

Semakan oleh JPNP bagi lesen mendapati pelesen telah menggunakan tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) seluas 1.6 hektar namun telah tamat tempoh.

“Semakan oleh JPNP sepertimana gambar papan tanda yang telah diviralkan adalah terletak bersebelahan kawasan lesen sebagai matau sementara, namun Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bentong memaklumkan lesen LPS tersebut telah tamat tempoh.

“Semakan oleh JPNP juga telah mendapati pelesen telah membuat bayaran untuk menyambung semula tempoh lesen LPS tersebut berdasarkan resit yang disertakan oleh pelesen kepada Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil daripada semakan di lapangan yang dibuat oleh kakitangan PHD Bentong mendapati pelesen telah siap membina jalan pengeluaran ke kawasan lesen dan telah menjalankan kerja penebangan hampir 30 peratus di dalam kawasan lesen.

Selain itu, semakan juga mendapati beberapa longgok tual balak daripada kawasan lesen telah disusun di matau sementara dan juga di matau utama. Walaubagaimanapun, kerja-kerja pengeluaran balak dari kawasan lesen Tanah Milik masih belum dilaksanakan.

Selain itu, pemantauan oleh JPNP mendapati pelesen telah mematuhi Spesifikasi Jalan Hutan yang ditetapkan cuma terdapat beberapa perkara yang perlu ditambahbaik terutama berkaitan jambatan dan pembentung bagi lintasan alur air sungai sementara (bukan aliran kekal) bagi mengelakkan sebarang pencemaran berlaku didalam kawasan ini.

“Arahan dan pemantauan yang rapi kepada pelesen juga telah dibuat bagi memastikan pelesen melaksanakan tindakan pembetulan dengan segera dan penambahbaikan dari aspek penyelenggaraan jalan pengeluaran dengan lebih kerap, kerana cuaca di daerah Bentong yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.

“Secara keseluruhannya, JPNP mendapati pelesen tidak melakukan sebarang kesalahan hutan yang melibatkan jalan pengeluaran dan kawasan lesen,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak JPNP turut memaklumkan akan terus memantau operasi sedia ada di kawasan berkenaan agar semua arahan JPNP dipatuhi.

Sumber: PAHANGMEDIA