Kaitan Dengan Amalan Selepas Kematian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Wasiat adalah salah satu undang-undang yang tersedia melalui syariat Islam dan anugerah Allah SWT kepada penganut agama Islam. Wasiat pada sudut bahasa berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bermaksud menghubungkan, menyampaikan, memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas kematian.

Wasiat daripada sudut istilah pula membawa maksud pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang lain atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada perkataan wasiat itu diungkapkan atau tidak. Dalam sejarah Islam, berwasiat kepada ibu bapa dan kaum kerabat hukumnya adalah wajib.

Namun begitu, kebanyakan sahabat antaranya Saidina Abu Bakar, Ali, Ibn Umar dan imam mazhab Sunni berpendapat hukum wajib melalui ayat ini dimansuhkan dengan turunnya ayat berkaitan pewarisan iaitu ayat 11, 12 dan 176 daripada Surah an-Nisa’.

Bagaimanapun, amalan berwasiat ini adalah suatu amalan yang amat disarankan untuk dilaksanakan oleh umat Islam berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud:

“Sesiapa yang mati dalam keadaan meninggalkan wasiat maka dia mati atas jalan yang satu dan mengikut sunah dan dia mati sebagai seorang bertakwa dan bersyahadah serta mati dalam keadaan dosa diampunkan.”

Hadis ini jelas menunjukkan amalan ini amatlah dianjurkan untuk dilakukan sebelum kita meninggal dunia. Oleh itu, hukum asal berwasiat itu adalah sunat, namun hukumnya boleh berubah bergantung kepada keadaan tertentu. Keadaannya adalah seperti berikut:

Wajib: Jika terdapat tanggungjawab syarii yang perlu dilaksanakan seperti zakat dan haji. Dia bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan.

Sunat: Jika berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapatkan pusaka. Begitu juga mewasiatkan kepada orang miskin dan untuk kebajikan pada jalan Allah.

Harus: Berwasiat kepada sahabat handai atau orang kaya yang mereka bukan daripada golongan berilmu dan beramal soleh.

Makruh: Jika orang yang mewasiat itu bukan daripada golongan yang berkemampuan, sedangkan ia mempunyai waris yang memerlukan harta setelah ketiadaanya.

Haram: Jika berwasiat untuk perkara haram seperti untuk membuka kilang arak atau pusat maksiat.

Perlu kita fahami juga di sini, bahawa wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang berhak menerima harta pusaka. Hal ini seperti hadis apabila seorang sahabat Nabi SAW iaitu Saad bin Abi Waqas bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya:

“Wahai Rasulullah, saya mempunyai harta yang banyak dan tidak ada mewarisi melainkan seorang anak perempuan. Apakah saya boleh sedekahkan dua pertiga harta saya?

Baginda menjawab: Jangan! Saya bertanya lagi: Apakah saya boleh sedekahkan separuhnya? Baginda menjawab: Jangan! Saya bertanya lagi: Apakah saya boleh sedekahkan sepertiganya? Baginda menjawab: Sepertiga itu.

Sepertiga itu banyak. Sesungguhnya kamu tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan mereka melarat yang akan meminta-minta kepada orang.”

Merujuk kepada dua hadis berkenaan, jelaslah bahawa wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang berhak mendapat harta pusaka si pewasiat dan seterusnya nilaian harta yang boleh diwasiatkan oleh pewasiat adalah sepertiga baki harta sahaja.

Namun begitu, jika ahli waris yang berhak menerima pusaka itu mengizinkan untuk memberikan wasiat kepada ahli waris atau mengizinkan wasiat yang melebihi satu pertiga harta maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan.

Pelaksanaan wasiat berlaku setelah pewasiat itu meninggal. Dalam hal ini jika dilihat, berlakulah amal kebajikan si mati itu walaupun setelah kematiannya. Pahala sedekah melalui wasiat akan diterima dan ia sangat besar ganjarannya dan akan berterusan sehingga hari kiamat.

Sebagai umat Islam kita boleh mewasiatkan harta yang berbentuk harta alih atau harta tidak alih bagi tujuan sedekah, wakaf atau perkara kebajikan. Hal ini akan memberi impak yang besar kepada agama Islam yang hasil ganjarannya sentiasa mengalir kepada si pewasiat walaupun dia telah meninggal dunia.

Amalan kebajikan ini amat diperlukan untuk meraih keredaan Allah SWT. Oleh itu, langkah untuk melakukan wasiat ini perlu dimulakan sebagai langkah berhati-hati kerana kita tidak tahu bila ajal akan berkunjung.

Sumber: HARIAN METRO