Kapal Israel Diharamkan Datang Ke Malaysia Serta-Merta – PM Anwar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR — Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa sama kerajaan juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan yakin semua keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta-merta,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sebelum ini berkata Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat  itu berlabuh di Malaysia sebelum dibenarkan mendarat pada 2005.

“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” katanya.

— BERNAMA