Kerajaan Pahang Tambah Bantuan Segera Bencana Sehingga Rm3,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan Pahang bersetuju menambah bantuan segera bencana di negeri ini sehingga RM3,000 berbanding RM1,000 pada tahun ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain bantuan segera bencana kepada mangsa banjir, Kerajaan Negeri juga turut menaikkan bantuan membaiki rumah yang rosak akibat banjir daripada RM2,500 sehingga RM5,000 dan bantuan pemulihan perniagaan kecil juga turut dinaikkan daripada RM3,000 sehingga RM5,000.

“Dan kita juga telah bersetuju untuk menaikkan bantuan segera, sebelum ini RM1,000 sahaja tetapi hari ini kita telah membuat keputusan untuk menaikkan sehingga RM3,000 bantuan segera. Maknanya apabila berlaku bencana kita dah ada peruntukan.

“Begitu juga dengan bantuan membaiki rumah yang rosak (akibat banjir), kita akan naikkan juga, dulu kita bagi RM2,500 sekarang kita naikkan sehingga RM5,000 untuk rumah-rumah yang rosak dan begitu juga bagi mereka yang terjejas akibat banjir bantuan untuk pemulihan perniagaan kecil, sebelum ini RM3,000 sekarang kita naikkan sehingga RM5,000.

“Dan ini adalah satu usaha yang kita buat, kita tambah baik daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang telah memperuntukkan hampir RM20 juta bagi menambah baik persiapan menghadapi bencana banjir yang melanda negeri ini pada setiap tahun.

Beliau berkata, peruntukan tersebut merangkumi persiapan pangkalan hadapan berjumlah RM4.8 juta, Tabung Malapetaka Daerah (RM1 juta), perolehan darurat (RM8.5 juta) dan perolehan bencana (RM3.5 juta).

“Kerajaan juga telah bersetuju menambahbaik bekalan makanan awal kepada mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan 50,000 makanan ‘Ready To Eat” dengan jumlah peruntukan RM600,000,” katanya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta bagi projek-projek persediaan banjir.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM47 juta untuk projek-projek bantuan atau persediaan untuk kita menghadapi banjir ini kerana kita tahu banjir ni kadang-kadang berlaku dua kali setahun jadi kerajaan negeri mengambil keputusan mungkin ada beberapa perkara yang kita ambil tindakan awalan,” katanya

Sumber: PAHANG MEDIA