KMI Kuantan Medical Centre Rai Lakaran Kejayaan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – KMI Kuantan Medical Centre (“KMI Kuantan”) hari ini menyambut ulang tahun ke-25 Jubli Perak dengan penuh lakaran kejayaan sejak awal penubuhan hospital.

Bertempat di Hyatt Regency Kuantan Resort, majlis penuhgilang- gemilang ini turut meraikan pencapaian cemerlang KMI Kuantan yang muncul sebagai hospital pertama di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (“KMI Healthcare”), Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”), menerima akreditasi penuh oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia atau Malaysian Society for Quality in Health (“MSQH”) pada September lalu.

Di majlis terbabit, Encik Saifulhazmi Salihin, Pengurus Eksekutif Hal Ehwal Korporat, Kewangan dan Hubungan Antarabangsa MSQH, menyampaikan sijil akreditasi MSQH kepada Encik Muhammad Ghazali Zainal Yusof, Pengurus Besar KMI Kuantan, disaksikan oleh Yang Berhormat Mulia (“YBM”) Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengerusi TDM, Haji Najman Kamaruddin, Pengarah Eksekutif TDM, Dr. Rayney Azmi Ali, Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dato’ Haji Zainal Abidin Hussin, Pengerusi KMI Kuantan, dan Prof. Dr Mokhtar Awang, Pengarah Perubatan KMI Kuantan.

Turut hadir menyaksikan sesi penyerahan sijil akreditasi MSQH dan meraikan sambutan Jubli Perak ialah barisan Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan TDM, KMI Healthcare, dan juga KMI Kuantan.

Sejak awal penubuhannya pada 26 Disember 1996 dan pengoperasian penuh pada tahun berikutnya, KMI Kuantan telah berkembang pesat menjadi hospital pakar mesra komuniti yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dengan kapasiti 176 katil serta kini lengkap dengan akreditasi MSQH.

Jumlah tersebut bakal ditambah melalui pembinaan sayap baharu di atas tanah berkeluasan 2.5 ekar dengan anggaran kasar kos pembinaan bernilai RM100 juta, menempatkan 80 katil tambahan dan lengkap dengan 500 ruang tempat letak kereta serta fasiliti lain yang lebih moden dan canggih.

Dr. Rayney Azmi ketika berucap dalam majlis tersebut berkata “Sebagai salah sebuah hospital pakar mesra komuniti pertama di Kuantan yang dibina khas dengan bilik persendirian atau single-bedded room, KMI Kuantan sememangnya popular di kalangan warga Kuantan dan sekitarnya. Penawaran istimewa ini menjadi salah satu sebab utama kepada peningkatan jumlah pesakit setiap hari kerana ianya dapat memberikan keselesaan kepada pesakit, keluarga, dan pengiring mereka.”

Selain perkhidmatan meliputi beberapa disiplin utama perubatan sedia ada, KMI Kuantan turut menumpukan usaha mempelbagaikan tawaran rawatan dan penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif seperti Makmal Kateterisasi (“Cath Lab”) bagi memberikan sokongan kesihatan kepada masyarakat seiring dengan perubahan semasa.

Penawaran khidmat Pusat Rawatan Mata merupakan penambahan terbaru kepada disiplin sedia ada di KMI Kuantan dan ini secara langsung melengkapkan servis sedia ada termasuk Pusat Ortopedik dan Tulang Belakang serta Pusat Jantung yang sedang dalam proses naik taraf kepada Pusat Kecemerlangan.

Dalam jangka masa beberapa tahun lagi, terdapat lima lagi tambahan baharu Pusat Kecemerlangan dalam perancangan di KMI Kuantan dan ini secara langsung membuktikan inisiatif hospital dalam mengutamakan keperluan pesakit.

YBM Tengku Seri Bijaya Raja dalam ucapannya menyambut baik pencapaian cemerlang KMI Kuantan yang masih kekal sebagai penyumbang terbesar dalam prestasi kewangan Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM.

Beliau turut memberi penekanan kepada penglibatan rangkaian hospital di bawah KMI Healthcare dalam memperkasakan sektor kesihatan yang juga menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Malaysia.

“Hospital swasta perlu menjadi jentera perkhidmatan yang dinamik dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan seiring dengan perubahan di peringkat domestik dan juga global. Ini bagi memastikan Keluarga Malaysia kekal sihat, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” tambah beliau lagi.

Selain KMI Kuantan, KMI Healthcare turut menguruskan empat lagi hospital iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre (“KMI Kuala Terengganu”), KMI Kelana Jaya Medical Centre (“KMI Kelana Jaya”), KMI Taman Desa Medical Centre (“KMI Taman Desa”) dan KMI Tawau Medical Centre (“KMI Tawau”).

-UNIT BERITA MANIS FM