Liga Super Ketiga, JDT Kedua Termahal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Saingan Liga Super Malaysia berada di kedudukan ketiga Asia Tenggara berdasarkan nilai keseluruhan skuad dalam kalangan liga elit di rantau itu.

Liga Super yang melalui proses penstrukturan baharu musim ini dengan dibarisi 14 pasukan bertanding memiliki nilai keseluruhan skuad berjumlah RM229 juta.

Nilai itu diletakkan oleh laman pasaran pemain antarabangsa, transfermarkt.com dengan Liga Thailand menjadi liga bola sepak yang mempunyai nilai keseluruhan skuad tertinggi dalam kalangan liga utama di rantau Asia Tenggara.

Nilai keseluruhan skuad Liga 1 Thai diletakkan pada harga RM340 juta, sementara Liga 1 Indonesia pula di kedudukan kedua dengan nilai keseluruhan skuad bertanding RM333 juta.

Liga 1 Vietnam dan Liga Perdana Singapura turut berada dalam lima liga utama Asia Tenggara dengan masing-masing mempunyai nilai skuad keseluruhan berjumlah RM177 juta dan RM76 juta.

Nilai keseluruhan skuad yang bertanding dalam semua liga itu sebenarnya dipengaruhi oleh nilai pasaran pemain dan jumlah pasukan yang bertanding.

Ia bermakna semakin ramai pemain yang bernilai tinggi bermain dalam liga berkenaan dan semakin banyak pasukan yang bertanding, maka jumlah nilai skuad keseluruhan bagi saingan itu akan meningkat.

Sebagai contoh, Liga 1 Thai dan Liga 1 Indonesia mempunyai 16 dan 18 pasukan bertanding berbanding Liga Super Malaysia dan Liga 1 Vietnam yang masing-masing disertai 14 pasukan manakala Liga Perdana Singapura hanya sembilan pasukan.

Selain itu, juara lapan kali Liga 1 Thai, Buriram United memegang status pasukan termahal di rantau Asia Tenggara dengan nilai keseluruhan skuad yang dimiliki mereka berjumlah RM44 juta.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula di kedudukan kedua dengan nilai RM43 juta, sekali gus menjadi penyumbang utama jumlah nilai keseluruhan skuad dalam saingan utama Liga Malaysia.

Sementara itu, dua lagi pasukan dari Thailand iaitu BG Pathum United dan Port FC menghuni tangga ketiga dan keempat dengan nilai pasaran keseluruhan pemain mereka berjumlah RM30 juta dan RM28 juta diikuti kelab Indonesia, Persija Jakarta (RM27 juta).

Sumber : BERITA HARIAN