Lebih 28,000 keluarga terjejas banjir di selatan Thailand

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Foto: The Atlantic

Lebih 28,000 keluarga dari 625 kampung di empat wilayah di selatan Thailand – Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla – terjejas oleh banjir serta kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat berterusan sejak 4 Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, Boontham Lertsukhikasem, berkata Narathiwat adalah wilayah paling teruk dilanda bencana membabitkan 22,038 keluarga di 13 daerah.

Di Yala, sebanyak 3,284 keluarga terbabit, Pattani (2,810 keluarga) dan Songkhla (60 keluarga), katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, pihak berkuasa turut membuka pusat pemindahan sementara bagi menempatkan penduduk terjejas iaitu tujuh di Narathiwat, tiga di Yala dan dua di Songkhla.