Membela Mualaf Qulubuhum

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Mualaf adalah mereka yang terbuka hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam, tetapi belum kukuh Islamnya.
Golongan mualaf terbahagi kepada dua kategori iaitu beragama Islam, sama ada baru memeluk agama Islam atau orang yang memeluk Islam tetapi imannya masih lemah. Kedua, bukan beragama Islam, tetapi masih boleh dipujuk supaya menganut Islam serta hatinya lebih cenderung kepada ajaran Islam.
Dalam sejarah awal pengembangan ajaran Islam, golongan mualaf memainkan peranan yang sangat penting. Di antara mualaf tersebut terdapat sahabat Nabi Muḥammad SAW yang mengembangkan ajaran Islam melalui pengorbanan jiwa dan harta.
Menurut Alt-Tabari, perkataan al-mu’allafah qulubuhum ditafsirkan dengan mereka yang lembut hati terhadap Islam, yang tidak perlu dibantu diri dan keluarga mereka seperti Abi Sufyan, ‘Uyaynah bin Badr, al-Aqra’ bin Habis dan sebagainya daripada kalangan pembesar kabilah.
Muhammad ‘Ali Al-Sobuni pula berpendapat muallaf qulubuhum adalah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW. Ini bertujuan bagi menjinakkan hati mereka masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam.
Seperti mana yang diriwayatkan Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: “Nabi SAW memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi.” (Riwayat Muslim).
Ibn Kathir menjelaskan golongan mualaf adalah orang yang diberi sedekah agar hatinya tetap dengan keislamannya. Mualaf adalah mereka yang dijinakkan hatinya agar berkeinginan memeluk Islam.
Mualaf pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perjalanan pengislamannya antaranya kehilangan pekerjaan, putus hubungan dengan keluarga dan diusir oleh masyarakat kaumnya. Oleh itu, mereka perlu disantuni dengan memenuhi keperluan dan kebajikan mereka supaya mereka merasai nikmat persaudaraan Islam.
Mualaf juga mempunyai hak-hak yang perlu ditunaikan termasuk menerima zakat, mendapatkan bimbingan dan pendidikan agama serta hak memperoleh keamanan. Harta dan diri mereka tertakluk di bawah undang-undang agama serta terpelihara darahnya dan hartanya sebaik sahaja dua kalimah syahadah dilafazkan oleh seseorang mualaf
Mualaf wajib melaksanakan seluruh perintah Allah SWT dan menjauhi semua larangan-Nya seperti yang dipertanggungjawabkan ke atas umat Islam. Selain mengucapkan dua kalimah syahadah, seorang Muslim juga perlu menunaikan tanggungjawab dalam rukun Islam yang lima seperti mendirikan solat, berzakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadan.
Mualaf wajib didekati melalui pendekatan dakwah yang penuh berhikmah. Seruan dakwah kepada golongan mualaf boleh dilaksanakan secara berperingkat. Antaranya, mewujudkan hubungan silaturahim, ziarah menziarahi, mengadakan sesi dialog tentang Islam serta usaha menangani isu-isu kebajikan masyarakat.
Aktiviti yang sesuai dilakukan termasuklah gotong-royong, sukaneka, kesenian dan sebagainya. Orang bukan Islam juga boleh menghadiri program kemasyarakatan tersebut. Selain mendekatkan golongan bukan Islam kepada Islam, usaha ini dapat mengelakkan ketegangan, mengurangkan salah faham serta merapatkan jurang perbezaan dalam masyarakat.
Interaksi yang berlaku di antara penduduk Islam dan bukan Islam dalam masyarakat akan dapat membentuk kesefahaman yang menyumbang kepada sikap penerimaan sesama anggota masyarakat.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, golongan mualaf disantuni melalui pelbagai program kebajikan, kelas pengajian dan bimbingan seperti dilaksanakan di Kompleks Darul Hidayah selain bantuan zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Ramai mualaf yang dapat dijadikan teladan terbaik dan terdapat juga yang menyumbang semula sebagai pendakwah dalam masyarakat. Mereka menjadi contoh ikutan dalam masyarakat dan berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini berhasrat menghantar mualaf yang terpilih menyambung pengajian agama ke peringkat lebih tinggi. Beliau juga ingin melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
JAWI turut memasukkan agenda Mualaf Care di dalam Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan demi memastikan program bimbingan dan kebajikan melibatkan golongan mualaf ini terus terbela.
Sumber: HARIAN METRO