Moyes Tak Sabar Kembali ke Old Trafford

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – David Moyes tidak sabar menentang bekas kelabnya Manchester United pada pusingan kelima Piala FA selepas jaringan Jarrod Bowen dan Michail Antonio mengesahkan kemenangan 2-0 West Ham mengatasi pasukan divisyen tiga, Derby awal pagi tadi.

Bowen meletakkan West Ham di depan pada awal babak pertama dan Antonio menggandakan kelebihan selepas rehat dalam aksi pusingan keempat itu.

Skuad kendalian Moyes akan ke Old Trafford pada lewat Februari ketika mereka berusaha untuk mara ke final Piala FA buat pertama kali sejak 2006.

Ia akan menjadi kepulangan terbaharu Moyes ke United, yang memecat pengendali dari Scotland itu pada 2014, hanya 10 bulan selepas dia menggantikan Alex Ferguson.

“Saya tidak sabar menantikan perlawanan ini. Ia perlawanan yang sangat bagus buat kami.” kata Moyes.

“Mungkin buat masa ini ia adalah perlawanan yang kami perlukan kerana kami ada pemain yang mahu bermain di pentas besar.

“Tiada apa yang lebih besar berbanding Old Trafford, jadi saya katakan pada pemain, ‘Mari, dan terima cabaran daripada mereka’.”

Mengelak kekalahan memalukan berdepan Derby adalah penting buat Moyes, namun kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi keutamaannya.

Skuad Hammers kini berkedudukan ke-16 EPL, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

“Ini adalah perlawanan yang sukar kerana Derby melalui 16 perlawanan tanpa kalah. Pada penghujungnya kami melakukan tugas yang agak profesional berdepan mereka,” kata Moyes.

Moyes membuat enam perubahan selepas kemenangan penting West Ham, 2-0 mengatasi Everton sembilan hari lalu.

Sumber : BERITA HARIAN