Musim tengkujuh: JPNP tutup sementara Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) menutup sementara semua Taman Eko-Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri, termasuk Hutan Simpanan Kekal di Pahang, selama dua bulan bermula Sabtu lalu. Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata penutupan itu adalah berikutan musim tengkujuh yang melanda negeri ini.

Katanya, antara aktiviti rekreasi yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh musim tengkujuh ialah menjelajah hutan dan gua, mendaki gunung serta sukan lasak berkenderaan.

Beliau menjelaskan, pengunjung dikhuatiri lebih terdedah kepada risiko kemalangan di lokasi terbabit pada musim tengkujuh berikutan kejadian pokok tumbang, terputus hubungan, kepala air dan tanah runtuh boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Justeru bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini, JPNP mengambil keputusan menutup TER serta Hutan Taman Negeri, termasuk Hutan Simpanan Kekal, pada musim tengkujuh ini. Walaupun ia mungkin menimbulkan perasaan tidak puas hati pihak tertentu, demi keselamatan serta kebaikan bersama, jabatan perlu bertindak tegas dan semua pihak harus akur”

Bagaimanapun, Regina Mariah memaklumkan, arahan penutupan itu tidak membabitkan sembilan kawasan ekopelancongan yang diswastakan kepada operator.

Katanya, ia membabitkan TER Kem Nusa dan TER Ulu Tembeling, Jerantut; TER Sungai Pandan dan Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing di Kuantan; TER Kenong, Lipis; Taman Negeri Rompin, Rompin; TER Lubuk Yu, Maran; Kawasan Rekreasi Kuala Gandah, Temerloh; dan Air Terjun Ulu Tampik, Janda Baik, Bentong.

Namun, beliau berkata, orang ramai yang ingin mengunjungi lokasi berkenaan dinasihatkan menjaga keselamatan, mematuhi arahan, dan tidak melakukan aktiviti di air serta berkhemah, terutama ketika hujan.

“Kita akan sentiasa memantau kesemua sembilan kawasan ekopelancongan dibenarkan beroperasi itu bagi memastikan pihak operator sentiasa mengambil langkah keselamatan supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini”

Sumber : Berita Harian