Nor Aisyah Gegar Velodrom Nasional

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NILAI – Pelumba berbasikal trek Terengganu Nor Aisyah Munirah Chek Ramli menggegarkan Velodrom Nasional Malaysia, di sini apabila berjaya memecah rekod kebangsaan acara 3 kilometer (km) kejar-mengejar individu wanita sekali gus merangkul emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, hari ini.

Nor Aisyah merekodkan masa 3 minit 47.551 saat (s) untuk mengatasi rakan sepasukan Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham yang meraih perak.

Lebih manis, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu mengakui beliau sama sekali tidak menyangka berjaya memadam rekod idolanya iaitu Nur Aisyah Mohamad Zubir dengan catatan 3:47.638s yang dilakar di Nation Cup di Cali, Colombia tahun lepas.

“Sejujurnya saya tak sasarkan acara ini kerana saya percaya pelumba lain lebih kuat. Saya juga tak sangka dapat pecahkan rekod Nur Aisyah yang merupakan idola dan rakan sepelatih saya,” katanya kepada pemberita.

Nor Aisyah yang juga pemenang pingat perak acara lebuh raya berpasukan wanita di Sukan SEA 2021 di Hanoi Mei lepas, berkata pengalaman beraksi pada temasya dwitahunan itu membantunya beraksi dengan baik di SUKMA kali ini.

Selain emas pada hari ini, beliau turut merangkul tiga perak iaitu dalam acara lebuh raya berpasukan wanita, omnium dan kejar-mengejar berpasukan, selain gangsa bagi acara lebuh raya wanita.

Pelumba Perak Nyo Ci Hui yang merekodkan masa 3:50.070s merangkul gangsa dengan menumpaskan Nurqadrina Emylia Norzali dari Selangor.

Sumber : BERNAMA