Odajer.com tawar 10,000 slot niaga secara percuma bernilai lebih RM20 juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Prihatin dengan nasib peniaga yang terkesan dengan pembatalan bazar Ramadan di negeri ini, laman sesawang Odajer.com tampil menawarkan 10,000 slot niaga secara percuma bernilai lebih RM20 juta.

Pengasas Odajer.com Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani, 27, berkata sebelum ini setiap peniaga yang berdaftar menerusi laman sesawang berkenaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM2,497 bagi setiap akaun.

Beliau berkata melalui tawaran yang dibuka bermula hari ini di laman sesawang Odajer.com, peniaga berkenaan boleh mendaftar secara percuma dan dihadkan sebaik sahaja mencecah 10,000 pemilik akaun yang berdaftar.

“Saya mengambil inisiatif memberikan slot secara percuma kepada 10,000 rakyat di Kelantan untuk berniaga secara dalam talian menerusi sistem ini bagi membantu mereka yang terkesan terutama kepada peniaga bazar Ramadan yang terjejas akibat COVID-19.

“Saya turut bersimpati kepada nasib peniaga bazar sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit susulan bazar Ramadan dibatalkan dua hari sebelum bermulanya puasa,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Muhammad Amar Mirza berkata pelanggan pula boleh membuat tempahan makanan secara dalam talian melalui laman sesawang itu tanpa sebarang caj tersembunyi.

“Tiada caj tambahan untuk setiap tempahan dan caj penghantaran ditentukan sendiri oleh peniaga tanpa campur tangan pihak Odajer.com berbanding sistem lain yang ada di Malaysia ketika ini dan hasil jualan termasuk kos penghantaran akan dimiliki sepenuhnya oleh peniaga.

“Malah, sistem ini menggunakan platform e-dagang untuk membantu meningkatkan jualan dalam talian seperti Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan sebagainya selain video tutorial juga turut disediakan untuk setiap ciri yang ada di dalam sistem Odajer.com bagi memudahkan peniaga,” katanya.

Beliau berkata kelas pemasaran secara percuma juga akan diberikan untuk membantu peniaga yang berdaftar menerusi Odajer.com mendigitalkan perniagaan mereka.

Untuk rekod, laman sesawang Odajer.com dibangunkan lebih setahun lepas dan kini mempunyai kira-kira 200 pemilik akaun yang telah berdaftar secara berbayar.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan negeri Kelantan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri termasuk semua acara rasmi kerajaan berikutan peningkatan kes COVID-19 yang serius di negeri itu.

Tindakan kerajaan negeri yang membuat pengumuman di saat akhir turut mendapat rungutan peniaga yang telah membuat pelbagai persiapan sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menanggung kerugian sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Sumber: BERNAMA