Orang Asli Bantu JPNP Tanam Pokok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN – Kempen penanaman 100 juta pokok yang dilancar sebelum ini memberi pendapatan tambahan kepada 15 penduduk Orang Asli di Tasik Chini apabila menerima bayaran bagi pokok yang ditanam.

Projek julung kali itu membabitkan aktiviti menanam tiga spesies pokok balak berkualiti tinggi di kawasan Hutan Simpan Chini.

Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nurfazliza Kamarulbahrin, berkata 15 masyarakat Orang Asli yang terbabit dengan program berkenaan adalah penduduk Kampung Cendahan, Kampung Tanjung Puput dan Kampung Tanjung Sambit di Tasik Chini.

Menurutnya, sebanyak 1,080 pokok balak spesies merbau dan keruing termasuk petai yang akan menjadi sumber ekonomi kepada penduduk setempat apabila pokok berkenaan berbuah dalam tempoh antara tujuh hingga 10 tahun.

Katanya, projek di bawah kempen penanaman 100 juta pokok itu membabitkan kawasan seluas kira-kira dua hektar yang merupakan bekas kawasan hutan diceroboh untuk projek pertanian.

“Sebahagian peserta yang terbabit dengan aktiviti menanam pokok terdiri daripada individu yang menyertai program ‘Buy Back Guarantee’ anjuran JPNP yang membekalkan anak pokok merbau.

“Jabatan memberi latihan dan pelbagai kelengkapan tapak semaian, mereka hanya perlu mencari benih pokok merbau dan beberapa spesies lain untuk disemai. Anak pokok yang mencapai umur antara empat hingga enam bulan akan dibeli oleh JPNP untuk ditanam di kawasan terpilih,” katanya, di sini semalam.

Beliau menambah, jabatan menyediakan memperuntukkan khas untuk pemuliharaan Hutan Simpan Berkelah dan Hutan Simpan Chini. Aktiviti menanam semula di kawasan terbabit akan dilakukan secara berperingkat.

Nurfazliza berkata, selepas Tasik Chini, program ‘Buy Back Guarantee’ kini diperluaskan ke Cameron Highlands membabitkan Kampung Terakit dan Kampung Rening yang disertai lebih 30 peserta.

Bagi Khadri Awang, 31 yang menetap di Kampung Cendahan, Tasik Chini, projek menanam pokok di Hutan Simpan Chini dapat menambah pendapatan kepada penduduk setempat.

“Saya berharap projek menanam pokok berkenaan dapat diteruskan selepas ini, selain dapat memulihkan Hutan Simpan Chini ia juga memberi pendapatan tambahan kepada masyarakat Orang Asli,.

“Kami mengambil masa tidak sampai dua hari untuk menanam 1,080 anak pokok merbau dan keruing termasuk petai, kami berdepan memindahkan anak pokok di kawasan berbukit,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN