Pakai gelang merah jambu ke kedai perkakas rumah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Balik Pulau: Polis sudah mengesan lelaki berusia 27 tahun yang disyaki ingkar arahan kuarantin wajib di rumah, dalam satu kejadian, hari ini.

Lelaki terbabit dari Mukim Kampung Perlis, di sini, dipercayai memakai gelang pesakit di bawah pengawasan (PUS) dan masuk ke kedai perkakas rumah, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima aduan daripada penolong penyelia berusia 30 tahun mengenai kehadiran lelaki yang disyaki memakai gelang berwarna merah jambu itu ke tingkat dua kedai berkenaan.

Katanya, penolong penyelia terbabit meminta lelaki itu menunggu seketika bagi membolehkan pihaknya menelefon polis untuk pengesahan.

“Namun lelaki berkenaan keluar dari kedai dan beredar dengan menaiki motosikal.

“Dia dipercayai datang ke kawasan itu bersama isteri dan dua anaknya,” katanya di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, semakan terhadap terhadap nombor pendaftaran motosikal lelaki terbabit sudah dibuat.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat semakan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Barat Daya bagi mengesahkan maklumat PUS.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sumber: My Metro