Pantai Timur Perlu Waspada Potensi Hujan Lebat Mungkin Berlaku Lagi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Penduduk di Pantai Timur masih perlu terus berwaspada walaupun situasi banjir terutama di Kelantan dan Terengganu semakin bertambah baik.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata hujan lebat berterusan masih berpotensi berlaku di kawasan berkenaan.

“Hujan lebat berterusan masih berpotensi berlaku di Pantai Timur selagi Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir,” katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, dijangkakan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang MTL 2022/2023.

“Setakat ini dua episod hujan lebat berterusan telah berlaku,” katanya.

Media hari ini melaporkan, situasi banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah baik dengan bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan setakat pagi ini.

Di Kelantan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 718 orang daripada 246 keluarga berbanding 1,235 orang daripada 428 keluarga malam tadi.

Di Terengganu, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan dua PPS dibuka iaitu Masjid Kampung La yang menempatkan 126 orang manakala Balai Raya Kampung Pantai 12 mangsa.

Jumlah mangsa 138 orang daripada 41 keluarga itu kekal seperti malam tadi.

Sementara itu, MetMalaysia hari ini turut mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (kategori pertama) di beberapa negeri termasuk di Pantai Timur sehingga Khamis ini.

Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 KMSJ dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sumber: BERITA HARIAN